Sunday, 16 September 2012

AKU MANUSIA



Kulihat,
Dia masih sama, 
Dia masih serupa,
Kulihat,
Dia dahulu berusaha menjadi hamba,
Kini tegar melakukan dosa,
Kulihat,
Dia dahulu umpama malaikat,
Jauh dari maksiat,
Tetapi,
Kini dia umpama si laknat,
Yang bebas berbuat jahat,
Seperti tiada yang merawat,
Seperti tiada yang melihat.

Kulihat,
Dia dahulu menyemai benih iman,
Berusaha menumbuhkan putik amal,
Memelihara dengan siraman ilmu,
Tetapi,
Kini mencantasnya tanpa hiba,
Memijaknya tanpa dipinta,
Umpama lagak durjana.

Apa yang sudah terjadi?

Namun, kuselami samudera dirinya,
Dia seperti aku,
Kejadiannya tiada yang berbeza,
Sama seperti aku.

Baru kusedar betapa ku alpa,
Dia ialah Manusia,
Makhluk pelupa,
Makhluk yang angkuh,
Bongkak dengan nikmat dunia,
Walau dah tahu betapa rapuh,
Tetap sanggup mendamba,
Tetap sanggup menjauh,
Daripada Tuhan Maha Berkuasa.

Baru kusedar,
Aku memang dia,
Aku makhluk bernama Manusia.

  

Adakah kita masih sama?

In The Name Of Allah The Preserver and The Sustainer, I begin

Salam akhir syawal buat semua pembaca. Sekali lagi tangan ini diizinkan oleh-Nya untuk menaip di atas papan kekunci bagi mengajak pembaca mencari redha-Nya. Tinta ini dikarang khas buat semua pembaca terutamanya diriku ini. Moga tinta ini dapat mendatangkan manfaat kepada insan-insan yang bertamu di laman ini.

Muqaddimah: Syawal hampir melabuh tirai


Berlalulah sudah ramadhan,
Sebulan berpuasa,
Tiba syawal kita rayakan,
Dengan rasa gembira.

Syawal disambut penuh gemilang,
Saling bermaafan fitrah dirai,
Masa berdetik jerih dihalang,
Tiba waktunya melambai pergi.


Sudah hampir sebulan Ramadhan meninggalkan kita. Kini, Syawal pula hendak melabuh tirai pada tahun ini. Masa tetap akan berlalu tanpa kita sedar. Soalnya, bagaimanakah keadaan diri kita?

Adakah kita menjadi lebih baik atau kembali seperti sediakala?

Adakah kita berjaya mengecapi kemuncak nikmat Ramadhan yang sebenar?

Atau kita sekadar melaluinya hanya dengan jasmani tanpa rohani?

Tepuk dada, tanyalah iman.

Kurniaan Allah buat kita

Satu bulan telah diciptakan untuk kita belajar menjadi seorang hamba. Satu bulan yang dalamnya penuh dengan limpahan kasih Tuhan yang Maha Agung. Satu bulan yang sedikit menjadi banyak, yang kotor menjadi suci, yang hina menjadi mulia.

Itulah bulan Ramadhan. Madrasah tarbiyyah untuk umat Islam meningkatkan keimanan.

Sesungguhnya Allah masih menyayangi kita. Sekiranya benci, Dia boleh sahaja mematikan kita sebelum bulan Ramadhan. Tidak memasukkan kita dalam kalangan yang mendapat peluang ini. Namun, Ramadhan telah tiba dan kita telah berada di dalamnya.

Tetapi, kenapa kita mensia-siakannya?

Tidak cukup dengan Ramadhan, Allah kurniakan kita bulan Syawal. Di dalamnya, kita menyambut hari fitrah selepas hampir sebulan melawan nafsu. Dikurniakan juga kepada kita puasa enam hari pada bulan Syawal.

Abu Ayyub al-Ansari ada meriwayatkan satu hadith daripada Rasulallah s.a.w. di dalam menerangkan tentang kelebihan puasa enam Syawal yang maksudnya “sesiapa yang berpuasa Ramadhan, kemudian diikutinya puasa enam hari Syawal samalah seperti dia berpuasa sepanjang tahun” 

Subhanallah. Ini merupakan benteng 'tambahan' buat kita. Betapa Allah ingin memelihara kita daripada kecundang semula dengan bisikan-bisikan syaitan laknatullah.

Tetapi, kenapa kita tetap tewas?

Tetap kembali seperti dahulu. Tetap menjadi seorang pendosa yang tegar. Tetap melaksanakan ibadah secara endah tak endah. Seperti kita tidak pernah  melalui apa-apa proses tarbiyyah. Sedangkan Ramadhan datang dan pergi berkali-kali dalam hidup kita.

Aneh dan pelik.

Kita hamba Dia selamanya, bukan ketika Ramadhan sahaja

Seringkali kita beranggapan salah pada bulan Ramadhan. Hal ini kerana kita sering melayani Ramadhan seperti 'adat' bukannya 'ibadat'. Ramadhan yang kita lalui hanya untuk sampai kepada Aidulfitri, bukannya Ramadhan untuk menjadikan diri kita hamba pada 11 bulan yang akan datang. Ini yang menyebabkan kita 'fatal' untuk menjadi hamba kepada-Nya.

Kita sering me'lakon'kan watak-watak baik ketika bulan Ramadhan. Seolah-olah hanya Ramadhan sahaja kita beramal tetapi tidak pada bulan-bulan yang lain. Yang memakai tudung ketika bulan Ramadhan, sekarang membiarkan aurat mereka menjadi tontonan.Yang dahulunya tidak pernah tinggal solat berjemaah, sekarang solat pun tunggang-langgang. Yang dahulunya umpama abid, sekarang umpama fasiq.

Ketahuilah saudaraku, kita ini hamba sepanjang waktu. 24 jam 7 hari. Melaksanakan amal ibadah tanpa henti. Itulah hakikat sebagai seorang manusia bernama Muslim.

"Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka menyembah-Ku." Surah Adz-Dzariyat ayat 56.

Marilah kita bermuhasabah

Dari Abu Hurairah Radhiyallahu 'anhu juga, bahawasanya Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam pernah naik mimbar seraya berkata :


"Amin.. Amin.. Amin.."

Para sahabat bertanya kepada Baginda : "Ya Rasulullah, engkau naik mimbar kemudian mengucapkan amin, amin, amin..?"

Sabda Baginda: "Sesungguhnya Jibril datang kepadaku, dan dia berkata :

"Barangsiapa yang datang kepadanya Ramadhan tapi tidak diampuni dosanya maka akan dimasukkan neraka dan akan Allah menjauhinya, katakanlah "Amin", maka aku pun mengucapkan Amin...."

Hadits Riwayat Ibnu Khuzaimah 3/192 dan Ahmad 2/246 dan 254 dan Al-Baihaqi 4/204 dari jalan Abu Hurairah. Hadits ini shahih, asalnya terdapat dalam Shahih Muslim 4/1978.


Tidakkah kita takut tergolong dalam golongan mereka yang tidak diampunkan dosa? Tidakkah kita gerun dengan kata-kata Jibri a.s.?

Duhai diriku dan teman yang lain,

Duduklah sebentar. Lihatlah diri kita tanpa menuding kepada orang lain. Duduklah dan berfikir kembali tentang keadaan kita sekarang. Adakah kita seperti 'kita' yang berada dalam bulan Ramadhan atau 'kita' yang masih tergapai-gapai tanpa didikan Ramadhan?

Masih ingatkah bagaimana kita bersungguh-sungguh menjaga akhlak dan perilaku ketika bulan Ramadhan?

Masih ingatkah bagaimana amal ibadah kita ketika bulan Ramadhan? 

Masih ingatkah bagaimana kita berusaha mencari keredhaan Allah ketika bulan Ramadhan?

Tenangkan fikiran dan fikir-fikirkanlah.

Penutup: Wahai diriku, berubahlah. 


Hakikatnya, Ramadhan hanyalah sekadar perhentian sementara buat kita. Perhentian untuk kita mengumpulkan bekalan taqwa dan peningkatan iman. Perhentian sebelum kita menghadapi 11 bulan yang lain.

Jangan kita sesekali berkata, " Ramadhan ini aku dah kumpulkan banyak pahala, bulan lain ala kadar je lah"

Sesungguhnya, kita ialah hamba 'palsu' sekiranya berkata demikian. Untuk siapakah kita bersungguh-sungguh dalam bulan Ramadhan? Untuk Allah atau untuk melakukan dosa pada bulan lain? Apa makna tarbiyyah dalam bulan Ramadhan sekiranya kita sanggup gadaikan dengan kemungkaran pada bulan lain?

"Ramadhan tahun depan ada lagi." andai ini yang terhambur keluar daripada mulut kita, kita merupakan manusia yang paling sombong sekali di alam ini.

Mampukah kita mengetahui bahawa kita akan hidup lagi pada bulan Ramadhan akan datang?

Adakah kita yang memegang hidup mati kita?

Fikir-fikirkanlah.

Ketahuilah, kita merupakan musafir yang akan terus berjalan mencari redha-Nya dalam kehidupan. Dan Ramadhan itu sekadar perhentian sementara. Bukannya perhentian selama-lamanya dan kita tidak perlu beramal selepas pemergiannya.

Berubahlah diriku, selagi pintu taubat tidak tertutup rapat.

Berubahah diriku, selagi cahaya Islam masih memancar di muka bumi ini.

Berubahlah diriku, selagi kau masih hidup!

Dan tanya diri ini, adakah kau masih sama selepas peringatan ini ditujukan kepada kamu?

-Daie Sado-